Kualiti udara di Pulau Pinang dijangka semakin merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balik Pulau dan Minden yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pengurusan Kualiti Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata berdasarkan trend, keadaan jerebu dijangka semakin buruk, khususnya di bahagian pulau.

“Berdasarkan trend, kemerosotan kualiti udara di Pulau Pinang memang meningkat.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, di Minden, ia mencatatkan bacaan IPU 216 dan pada jam 5 petang, bacaan IPU adala 232. Terdapat peningkatan dari segi IPU bermaksudnya kualiti udara semakin merosot,” kata Wan Aminordin ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.


Dalam perkembangan yang sama, katanya, ia sukar untuk meramal bila keadaan jerebu di negara ini akan bertambah baik.

BACA: Jerebu di Pulau Pinang: Dua penerbangan patah balik, satu dilencongkan

BACA: Jerebu: Operasi pembenihan awan di Semenanjung bermula esok, Sarawak pada Jumaat

“Keadaan jerebu khususnya di Sabah, Sarawak dan Semanjung Malaysia bergantung kepada aktiviti kebakaran. Trendnya tidak menentu.

“Kadang-kala, bacaan IPU meningkat dan ada yang berkurangan.

“Kami tidak boleh menjangka bila jerebu ini akan berakhir selagi keadaan Monsun Barat Daya masih bertiup,” tambahnya.

Setakat jam 8 petang, lapan kawasan mencatatkan IPU yang sangat tidak sihat.

Antaranya ialah Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan 252 dan 254 di Johan Setia, Selangor.