KUALA LUMPUR: Selangor, Johor dan Pahang terus menjadi tiga negeri paling terjejas apabila sebahagian besar stesen pengawasan di negeri berkenaan merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), manakala Sarawak menunjukkan sedikit peningkatan kualiti udara di beberapa kawasan setakat jam 3.30 petang Selasa.
Daripada keseluruhan 39 stesen pengawasan di seluruh negara yang berada pada tahap Tidak Sihat, tumpuan terarah kepada beberapa kawasan yang merekodkan peningkatan bacaan IPU.
Di Selangor, Johan Setia terus merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini dengan bacaan 187, diikuti Shah Alam (173), Klang (166), Petaling Jaya (165), Banting (163) dan Kuala Selangor (162).
Trend peningkatan turut dikesan di Johor apabila Segamat memasuki kategori Tidak Sihat dengan bacaan 113 dan Tangkak meningkat kepada 172.
Di Pahang pula, Indera Mahkota di Kuantan mencatatkan bacaan 167. Sebaliknya, beberapa stesen mula merekodkan penurunan bacaan IPU meskipun masih berada pada tahap Tidak Sihat.
Di Sarawak, stesen IPD Serian yang sebelum ini merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu 185 kini menurun kepada 174. Bacaan IPU di stesen Kuching turut menurun daripada 152 kepada 117, sekali gus menunjukkan peningkatan kualiti udara.
Di Pahang, bacaan IPU di Balok Baru, Kuantan, Temerloh dan Jerantut kekal stabil pada paras 162.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, diikuti 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat dan bacaan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memantau bacaan IPU menerusi aplikasi APIMS yang dikemas kini setiap jam.