KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan kualiti udara pada tahap Tidak Sihat, dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi setakat jam 11 pagi Khamis.
Menurut data Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johan Setia merekodkan bacaan IPU 156, diikuti Nilai, Negeri Sembilan pada 153.
Turut mencatat bacaan melebihi 150 ialah Putrajaya, Shah Alam dan Klang, yang masing-masing merekodkan IPU 152.
Kawasan lain dalam kategori Tidak Sihat ialah Cheras (128), Port Dickson (118), Banting (108) dan Seremban (101).
Sementara itu, 52 kawasan di seluruh negara berada pada tahap Sederhana dengan bacaan IPU antara 51 hingga 100.
Antara kawasan yang menghampiri kategori Tidak Sihat ialah Bandaraya Melaka dengan bacaan 98, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (97), Bukit Rambai (95) dan Petaling Jaya (94).
Kualiti udara di Sabah dan Sarawak serta kawasan utara Semenanjung pula kekal pada tahap Baik dengan bacaan IPU di bawah 50.
Limbang merekodkan bacaan IPU terendah di negara ini pada 38, diikuti Balik Pulau, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah yang masing-masing mencatat bacaan 42.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan melebihi 300 sebagai Berbahaya.