KUALA LUMPUR: Selangor, Johor dan Pahang terus mencatatkan bilangan kawasan tidak sihat tertinggi susulan kemerosotan kualiti udara setakat jam 12.30 tengah hari Selasa.
Daripada keseluruhan 38 stesen pengawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di seluruh negara, Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan lapan stesen, diikuti Selangor dengan enam stesen dan Pahang empat stesen.
Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi iaitu 185, diikuti Shah Alam (170), manakala Petaling Jaya dan Klang masing-masing mencatatkan bacaan 163.
Kuala Selangor dan Banting turut berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan masing-masing 159.
Di Johor, Tangkak merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 170, diikuti Pasir Gudang (169), Larkin (165), Kota Tinggi (164), Batu Pahat (163), Pengerang (161) dan Kluang (149).
Di Pahang, Indera Mahkota di Kuantan mencatatkan bacaan 164, diikuti Balok Baru, Kuantan (163), Temerloh (159) dan Jerantut (158).
Walaupun Sarawak hanya mencatatkan sejumlah kecil kawasan tidak sihat, stesen IPD Serian merekodkan bacaan 185, sekali gus berkongsi bacaan IPU tertinggi negara bersama Johan Setia.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Bacaan antara 101 hingga 200 pula diklasifikasikan sebagai tidak sihat, diikuti 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat dan bacaan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta sentiasa merujuk APIMS bagi mendapatkan maklumat kualiti udara terkini.