Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyuarakan kebimbangan berhubung isu jerebu yang tidak berkesudahan dan berlaku hampir setiap tahun, dengan menegaskan ia mungkin menjejaskan beberapa acara sukan yang dijadualkan oleh kerajaan negeri dari segi penyertaan dan jumlah penonton.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata terdapat banyak acara yang dianjurkan dalam beberapa minggu akan datang oleh kementeriannya dan beliau berharap masalah jerebu akan selesai pada masa itu.

"Ini kerana sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pelancongan dan sukan, saya berasa kurang senang dengan perkara ini, sebab kami akan menganjurkan begitu banyak acara, sebenarnya, kami akan menganjurkan Spartan Race bulan depan, francais dari Amerika Syarikat yang akan diadakan buat julung kali di Borneo.

"Kami menyasarkan 3,000 peserta dan setakat minggu lepas, penyertaan telah mencecah 2,600 orang, 60 peratus daripadanya adalah peserta asing... Saya tak fikir mereka suka untuk melihat jerebu, mereka datang ke sini untuk berlumba dalam persekitaran yang baik," katanya ketika berucap pada penutupan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2019, di sini hari ini.

Bercakap kepada para peserta, antaranya dari China, Venezuela, Jepun dan Filipina, Abdul Karim menjelaskan masalah jerebu bukanlah perkara yang berlaku setiap hari di negeri ini.

"Jarang berlaku seperti ini, hanya pada waktu tertentu sahaja dan ia bukan disebabkan kami, tetapi berpunca daripada negara jiran kami tetapi sebagai negara berjiran, tidak boleh terlalu sangat berselisih pendapat dengan mereka.

"Kami sering memberitahu mereka menerusi saluran diplomatik supaya tolong kawal kebakaran di tempat anda sebab kamilah yang terpaksa menanggung akibatnya," katanya.

Hari ini, sejumlah 406 sekolah di sembilan daerah di Sarawak diarah tutup berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri ini melepasi paras 200, semalam.

Setakat 4 petang ini, kualiti udara di negeri ini semakin baik apabila tiada lagi kawasan yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Sri Aman yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat 202 pada 8 pagi ini, kini berada di paras 182, manakala Kuching menurun daripada 167 kepada 138 selain Samarahan daripada 132 kepada 119.

Sepuluh lokasi kekal dengan bacaan IPU sederhana di bawah 100, iaitu Sibu (85), S.K Baram (72), Mukah (70), Miri (71), Bintulu (73), Samalaju (66), Kapit (62), Limbang (53), Sarikei (84) dan ILP Miri (66).

-- BERNAMA