Skip to main content

Malaysia

Jerebu rentas sempadan: Indonesia, Malaysia kekalkan perhubungan diplomatik peringkat tinggi

Arrmanatha Nasir (foto) berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menjelaskan usaha negara itu memadamkan kebakaran berkenaan. -Gambar fail/Reuters
Arrmanatha Nasir (foto) berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menjelaskan usaha negara itu memadamkan kebakaran berkenaan. -Gambar fail/Reuters

Advertisement

Ringkasan AI

  • Indonesia dan Malaysia mengekalkan hubungan diplomatik tinggi bagi menangani isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah.
  • Kementerian Kehutanan Indonesia melaporkan peningkatan titik panas kepada 793, dengan Kalimantan Tengah mencatat jumlah tertinggi iaitu 288 titik panas.
  • Kualiti udara di beberapa kawasan kekal tidak sihat hingga sangat tidak sihat, dengan operasi pemadaman melibatkan 61 pesawat dan ribuan anggota.

JAKARTA: Indonesia dan Malaysia terus mengekalkan perhubungan diplomatik peringkat tinggi berhubung isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah, susulan perbualan telefon antara pemimpin kedua-dua negara di tengah-tengah kebimbangan mengenai pencemaran udara yang semakin buruk.

Menteri Luar Indonesia Arrmanatha Nasir berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menjelaskan usaha negara itu memadamkan kebakaran berkenaan.

"Kami telah mengatur gerak lebih 60,000 anggota. Keadaan ini sememangnya mencabar kerana cuaca ketika ini tidak memihak kepada kami, namun kami berharap keadaan akan bertambah baik berikutan hujan yang dijangka berlaku tidak lama lagi," katanya kepada pemberita.

Arrmanatha berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis bahawa beliau telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto berhubung situasi jerebu.

Anwar turut berkata Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran berkenaan dan telah mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menghubungi Sekretariat ASEAN bagi memohon supaya mesyuarat Menteri-Menteri Berkaitan Alam Sekitar diadakan bagi menyelaraskan usaha menangani situasi jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, Kementerian Kehutanan Indonesia melaporkan peningkatan mendadak jumlah titik panas di seluruh negara kepada 793 setakat 9.10 malam waktu tempatan pada Sabtu, berbanding 437 pada hari sebelumnya.

Enam wilayah keutamaan mencatatkan 421 titik panas, meningkat daripada 270 pada hari sebelumnya.

Menurut sistem pemantauan kementerian itu, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 288, diikuti Sumatera Selatan (60), Kalimantan Barat (44), Kalimantan Selatan (28) dan Jambi (satu), manakala Riau tidak merekodkan sebarang titik panas.

"Peningkatan hari ini menjadi peringatan bahawa tahap kewaspadaan tidak seharusnya bergantung pada trend dalam tempoh satu atau dua hari sahaja," menurut kementerian itu menerusi kemas kini video yang dimuat naik ke akaun Instagram rasminya.

Kementerian itu memaklumkan pemantauan kualiti udara berdasarkan kepekatan zarah halus PM2.5 terus menunjukkan keadaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat di beberapa kawasan, dengan pencemaran udara pada tahap berbahaya dikesan di beberapa lokasi di Kalimantan, Sumatera dan Papua.

Menurut kementerian itu, sebanyak 61 pesawat kekal dalam keadaan bersiap sedia, terdiri daripada 44 pesawat bagi operasi pemadaman menggunakan kaedah water-bombing dan 17 lagi untuk rondaan udara serta operasi modifikasi cuaca, dengan sokongan pasukan pemadam kebakaran di darat.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Indonesia untuk menangani kebakaran hutan dan tanah? 
    A: Indonesia telah mengatur gerak lebih 60,000 anggota serta menyediakan 61 pesawat untuk operasi pemadaman, rondaan udara, dan modifikasi cuaca, dengan sokongan pasukan pemadam kebakaran di darat.
  • Q: Bagaimana Malaysia terlibat dalam usaha menangani isu jerebu rentas sempadan? 
    A: Malaysia bersedia membantu Indonesia dan telah mengarahkan Menteri Luar menghubungi Sekretariat ASEAN untuk memohon mesyuarat Menteri-Menteri Berkaitan Alam Sekitar bagi menyelaraskan usaha menangani jerebu rentas sempadan.
  • Q: Berapakah jumlah titik panas yang dilaporkan di Indonesia dan wilayah manakah yang paling terjejas? 
    A: Kementerian Kehutanan Indonesia melaporkan 793 titik panas setakat 9.10 malam waktu tempatan pada Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 288 titik panas.
  • Q: Bagaimana keadaan kualiti udara di beberapa kawasan di Indonesia akibat kebakaran ini? 
    A: Pemantauan kualiti udara menunjukkan keadaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat di beberapa kawasan, dengan pencemaran udara pada tahap berbahaya dikesan di Kalimantan, Sumatera, dan Papua.
  • Q: Apakah cabaran utama yang dihadapi Indonesia dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah? 
    A: Cabaran utama adalah keadaan cuaca yang tidak memihak, namun Indonesia berharap keadaan akan bertambah baik berikutan hujan yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Product Recommendation Section Title

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

Must Watch Video

Advertisement