awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Dua pesawat bergesel di Lapangan Terbang Mumbai
Tahun Baharu Cina: 2,026 tanglung, kuda gergasi tarikan pelancong ke Jonker Walk
Indonesia intai kerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan semikonduktor generasi baharu
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Jeti baharu tingkat pendapatan nelayan hingga 20 peratus di Kg Jilid 8

Afiezy Azaman
Afiezy Azaman
04/02/2026
02:30 MYT
Jeti baharu tingkat pendapatan nelayan hingga 20 peratus di Kg Jilid 8
Kehidupan Muhammad Zaki Othman alami perubahan apabila jeti baharu dibina di Kg Jilid 8. - Foto Astro AWANI
KUALA MUDA: Pagi di Kampung Jilid 8 bermula lebih awal bagi Muhammad Zaki Othman. Ketika kebanyakan orang masih lena diulit mimpi, nelayan berpengalaman lebih 30 tahun itu sudah bersiap untuk turun ke sungai dan laut, mengejar rezeki yang tidak pernah menentu.

Ringkasan AI
  • Hidup sebagai nelayan: Muhammad Zaki Othman, nelayan berpengalaman, mengejar rezeki dengan rutin kerja yang mencabar, bergantung kepada keadaan air, cuaca, dan musim, demi menyara keluarganya.
  • Sebelum kehadiran jeti baru: Nelayan di Kampung Jilid 8 mengalami kesukaran kerana terpaksa menunggu air pasang untuk keluar dan masuk laut, memikul hasil tangkapan jauh dari sungai ke darat, serta menghadapi masalah kesegaran ikan tanpa ais.
  • Jeti baharu bawa perubahan besar: Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan AGC membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dengan kemudahan seperti jalan berturap, lampu solar, dan jeti baharu, meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta mengurangkan tekanan dan keletihan dalam kerja nelayan.

Hidupnya sejak usia 15 tahun terikat dengan pasang surut air, cuaca dan musim, demi menyara lima orang anak yang masih bersekolah, termasuk seorang di universiti.
HIDUP SEBAGAI NELAYAN
Menurut Zaki, rutin hidup sebagai nelayan bukan sesuatu yang mudah. Ada hari dia keluar seawal pagi dan hanya pulang lewat malam, malah ada ketikanya terus menyambung kerja dari petang hingga keesokan pagi.
"Pendapatan pula tidak pernah tetap. Ada hari boleh membawa pulang sekitar RM150, namun tidak kurang juga hari yang hanya memperoleh RM20 atau RM30, malah ada masa langsung tiada hasil.
"Semuanya bergantung kepada keadaan air, cuaca dan musim. Namun demi anak-anak yang masih belajar dan memerlukan perbelanjaan besar, laut tetap perlu ditempuh walaupun masa bersama keluarga sangat terhad," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad Zaki Othman memeriksa bot miliknya sebelum mula mencari hasil sungai dan laut.
Muhammad Zaki Othman memeriksa bot miliknya sebelum mula mencari hasil sungai dan laut.
SEBELUM KEHADIRAN JETI BAHARU
Sebelum ini, kehidupan nelayan di kampung itu sangat sukar apabila pergerakan keluar masuk bot amat bergantung kepada air pasang.
Zaki mengimbau bagaimana mereka terpaksa menunggu air pasang untuk turun ke laut dan tanpa jemu juga menunggu sekali lagi untuk pulang. Itulah rutin kepayahannya saban hari.
"Ada kalanya bot tersangkut dan hasil tangkapan terpaksa dipikul sejauh kira-kira 150 meter dari sungai ke darat menggunakan kayu sebagai laluan sementara.
"Dengan hasil yang berat dan ketiadaan tong ais, kelewatan sedikit sahaja sudah memberi kesan kepada kesegaran ikan, udang dan ketam, sekali gus menambah kos untuk membeli ais," katanya.
JETI BAHARU BAWA PERUBAHAN BESAR
Namun, keadaan itu kini berubah melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) berusaha membangunkan Kampung Jilid 8 dan Rangkaian di Kuala Muda.
Inisiatif berkenaan terus menjadi antara inisiatif utama kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, dengan menumpukan usaha meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat secara menyeluruh.
Terdapat banyak kemudahan asas ditambah baik termasuk jalan berturap, lampu solar, serta kemudahan mesin pengeluaran wang (ATM) pertama di masjid dan banyak lagi melalui peruntukkan sebanyak RM2.5 juta.
Salah satu kemudahan dalam inisiatif tersebut dan memberi nafas baharu kepada kehidupan nelayan seperti Zaki ialah dengan peminaan jeti baharu.
Kehidupannya kini jauh lebih baik dan boleh keluar awal tanpa menunggu air pasang, membawa naik hasil dengan lebih cepat dan turun ke laut pada bila-bila masa.
"Perubahan ini memberi kesan nyata apabila hasil tangkapan meningkat sekitar 10 hingga 20 peratus.
"Lebih penting, tekanan dan keletihan yang sebelum ini dirasai akibat kekangan pergerakan kini semakin berkurang," ujarnya.
Mohd Zaki diberi amanah untuk menjaga jeti ini bagi para nelayan Kg. Jilid 8.
Mohd Zaki diberi amanah untuk menjaga jeti ini bagi para nelayan Kg. Jilid 8.
Walaupun bersyukur dengan perubahan tersebut, Zaki tetap menyimpan harapan agar kemudahan sedia ada dapat dipertingkatkan.
"Antaranya pemasangan bumbung dan penambahan pelantar supaya lebih banyak bot boleh berlabuh dengan selesa.
"Bagi saya, kemudahan tambahan itu bukan sekadar soal keselesaan, tetapi berpotensi membuka ruang untuk membawa lebih banyak hasil dan menambah pendapatan nelayan kampung," katanya.
HARAPAN SEORANG NELAYAN
Bagi Zaki, jeti ini bukan sahaja mengubah rutin hariannya, malah memberi harapan baharu kepada komuniti nelayan di Kampung Jilid 8.
Dia percaya kemudahan yang ada mampu membantu menampung perbelanjaan harian keluarga dan memperbaiki taraf hidup penduduk kampung jauh lebih baik daripada sebelum ini.
Kepada anak-anaknya pula, dia menitipkan pesan agar menuntut ilmu setinggi mungkin dan merebut peluang pekerjaan yang lebih baik, walaupun tidak menafikan bahawa nelayan juga boleh berjaya jika ada ilmu dan kaedah yang betul.
Mohd Zaki berikrar untuk terus membanting tulang bagi mencari rezeki buat isteri dan anak-anaknya.
Mohd Zaki berikrar untuk terus membanting tulang bagi mencari rezeki buat isteri dan anak-anaknya.
Di tebing sungai Kampung Jilid 8, kisah Zaki menjadi cerminan bagaimana satu perubahan kecil dalam kemudahan asas mampu membawa kesan besar kepada kehidupan rakyat, terutama mereka yang bergantung sepenuhnya kepada alam untuk mencari rezeki.
Topic Berkaitan
#Kg Jilid 8
#nelayan
#jeti baharu
#Kampung Angkat MADANI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan