KUALA PERLIS: Kewujudan jeti haram yang semakin bertambah pada masa ini di kawasan sekitar perairan Perlis menyukarkan pasukan keselamatan memantau aktiviti berkaitan penyeludupan bahan terlarang di perairan negeri ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata jeti haram itu dipercayai akan menjadi antara penyumbang kemasukan bahan terlarang ke Perlis melalui jalan laut dengan mudah sekiranya ia dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Tanpa menyatakan jumlah jeti haram itu secara terperinci, beliau memaklumkan dianggarkan terdapat puluhan jeti haram dikenal pasti ada di kawasan perairan Perlis.

"Kewujudan jeti haram amat sukar dipantau dan bilangan boleh katakan bertambah setiap hari, keadaan menyukarkan agensi keselamatan untuk memantau semua aktviti yang berlaku di perairan Perlis...kita tidak tahu berapa bilangan jeti berdaftar dan tidak berdaftar di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi bersepadu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis di sekitar perairan Perlis yang merangkumi kawasan Kuala Perlis hingga ke Sungai Baru dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Hashim berkata pihaknya akan memperhebat dan meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti penyeludupan mahupun penyalahgunaan dadah ataupun jenayah maritim yang lain.

Mengenai operasi bersepadu yang menumpukan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan itu, beliau berkata dua beradik lelaki berumur 34 dan 36 tahun antara lapan nelayan lelaki yang ditahan dalam operasi berkenaan kerana positif dadah dalam ujian saringan urin mereka.

"Seramai 16 orang (lelaki) membuat ujian saringan (urin) di laut, yang mana daripada jumlah tersebut seramai lima orang didapati positif dadah manakala 12 saringan dijalankan di darat yang mendapati tiga positif dadah. Lapan orang yang positif dadah ini berumur antara 26 hingga 43 tahun.

"Kesemua mereka yang ditahan positif dadah itu diserahkan kepada AADK Perlis untuk tindakan lanjut," katanya yang turut memaklumkan seramai 25 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan 22 anggota AADK terlibat dalam operasi bersepadu itu.

-- BERNAMA