SEMPORNA: Pihak berkuasa digesa menyelia pembinaan jeti di Semporna bagi memastikan struktur pembinaannya mematuhi ciri-ciri keselamatan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Abdul Hussin berkata, turut mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk memastikan setiap jeti yang ada di Semporna segera diselia untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Jelasnya sebelum kejadian runtuhan pondok jeti di Kampung Gading-Gading pada petang Isnin berlaku, kebimbangan mengenai pembinaan jeti yang tidak mengikut piawaian sudah disuarakan dalam mesyuarat majlis daerah.

"Dalam mesyuarat majlis daerah pada bulan lalu saya sudah suarakan agar semua jeti yang ada di pekan Semporna khususnya diselia sebab kita tidak mahu orang membina jeti tanpa mengikuti SOP yang sepatutunya.

"Sebab ini akan menimbulkan masalah dan sudah terbukti pada hari raya pertama seramai lapan orang anak-anak di Kampung Gading-Gading terlibat dalam kemalangan itu yang membawa maut seramai dua orang," katanya.

Ujarnya satu mesyuarat bersama ketua Armada telah diadakan untuk mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera.

"Saya bersama dengan ketua Armada dan Ketua Srikandi Muda yang ada disini berbincang supaya perkara ini dibawa kepada pengetahuan ketua bahagian untuk disampaikan kepada pihak yang berwajib agar semua jeti yang dibina di setiap kampung ini mendapat seliaan daripada pihak tertentu.

"Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi buat kali kedua," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung untuk diagihkan kepada lapan mangsa terlibat dan warisnya.

Sementara itu Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Tariq Aziz berkata, penambahbaikan lantai jeti tersebut dengan menggunakan simen oleh orang kampung antara faktor kejadian berlaku.

Selain itu jeti tersebut diguna kira-kira 300 penduduk kampung yang bekerja sebagai nelayan.

"Mungkin kerana simen atas itu terlalu berat dan tiang di bawah tidak dapat menampung simen yang di atas itulah berlakunya pondok jeti runtuh.

"Lantai pondok jeti itu baru disimen awal tahun, jeti itu sangat penting untuk orang kampung. Kebanyakan yang menggunakan jeti tu ialah nelayan, sekitar 300 orang penduduk menggunakan jeti itu," katanya.

Terdahulu dua remaja lelaki maut selepas terjatuh dalam kejadian runtuhan pondok jeti di Kampung Gading-Gading, Semporna pada petang Isnin.

BACA: Dua remaja lemas dalam insiden pondok jeti runtuh di Semporna