KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga individu dalam Ops Bersepadu Khazanah berkaitan aktiviti penyimpanan serta penyediaan hidupan liar sebagai hidangan eksotik kepada pelancong di sebuah resort pelancongan di Semporna, semalam.
Pengarah JHL Sabah Mohd Soffian Abu Bakar berkata dalam operasi itu pihak penguat kuasa merampasseekor tenggiling (Manis Javanica) hidup iaitu spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya selain beberapa hidangan juga dipercayai melibatkan haiwan dilindungi.
Advertisement
"Beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Tenggiling merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies tersebut sebagai hidangan.
Jika sabit kesalahan, Mohd Soffian berkata pesalah boleh dikenakan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM250,000 serta penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun.
Beliau berkata jabatannya memandang serius sebarang aktiviti penyediaan hidupan liar dilindungi sebagai makanan eksotik kepada pelancong kerana amalan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bertanggungjawab.
"Jabatan ini memberi amaran keras bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana premis pelancongan yang terlibat dalam aktiviti berkaitan jenayah hidupan liar," katanya.
-- BERNAMA