AMANAH dan tanggungjawab yang dipikul petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 sememangnya cukup besar.

Tatkala ramai antara kita yang mungkin lena dibuai mimpi dan selesa meluangkan masa berharga bersama keluarga, cabaran yang ditempuh jururawat Siti Roha Mat Aroff sungguh luar biasa.

Selain perlu menjaga anak sulung berusia lima tahun yang menghidap autisme, dia yang bertugas di Klinik Kesihatan Tenglu di Mersing, baru sahaja kehilangan anak keduanya berusia tiga tahun akibat kanser otot.

“Sepatutnya saya bercuti dengan separuh gaji sehingga bulan Jun tetapi Widad (anak kedua) telah meninggal dunia pada 6 April lalu. Jadi cuti itu terputus sampai 6 April sahaja.

Anak kedua Siti Roha meraikan ulang tahun kelahiran di dalam hospital kerana perlu menjalani pembedahan. - Foto Siti Roha

“Kalau ikutkan hati, saya nak sambung cuti lagi, tapi saya fikir, saya tak boleh duduk di rumah. Bila saya duduk di rumah, saya teringatkan arwah.

“Saya masuk bilik saya ingat dia, tengok pintu bilik ingat dia, masuk bilik air ingat dia, tengok mainan, semua saya teringat dia. Saya tak boleh.

“Hari keempat dia meninggal, saya cakap dekat suami, minggu berikutnya saya hendak masuk kerja. Saya tak boleh duduk rumah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ujarnya, sepanjang tempoh bercuti menjaga anaknya yang sakit, perasaannya bercampur baur antara sedih, kasihan dan bersemangat melihat rakan-rakan seperjuangan bertungkus lumus berusaha menentang wabak COVID-19.

“Untuk apa lagi meneruskan cuti? Jadi saya buat keputusan untuk bekerja jadi saya boleh berkhidmat menggantikan orang lain pula.

Antara kenangan yang disimpan Siti Roha bersama anak keduanya. - Foto Siti Roha

“Saya kasihan kepada kawan-kawan. Masa masuk kerja, doktor pakar tanya adakah saya mahu jadi sukarelawan pasukan COVID-19, terus saya cakap dengan doktor, saya nak pergi.

“Kekuatan sebenarnya dorongan dari suami. Pada mula, dia (suami) memang agak keberatan untuk bagi saya pergi ambil sampel COVID-19 dan sebagainya.

“Tapi saya cakap dengan dia, saya jururawat, jihad saya untuk negara, kalau dia izinkan saya pergi, dia pun dikira berjihad juga melepaskan isteri dia berjihad untuk negara. Alhamdulillah setakat ini dia memahami,” ujarnya dalam nada sebak.

Dia yang bersyukur masih diberi rezeki melahirkan dan membesarkan anak, berharap agar ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan berpenyakit untuk terus cekal dan tabah menghadapi ujian yang diberi Allah.

“Saya tidak boleh terlalu bersedih, saya reda dengan apa yang Allah SWT tetapkan. Allah sudah bagi yang terbaik.

Selang beberapa hari selepas kematian anaknya, Siti Roha cekal meneruskan amanah sebagai petugas barisan hadapan menentang COVID-19. - Foto Siti Roha

“Ada orang lain, Allah SWT bagi pinjam hanya ketika mengandung, dalam perut saja, lahir tak dapat dibesarkan, tetapi saya masih ada peluang.

“Ada orang nak mengandung, tapi tak dapat mengandung lagi. Tapi Allah SWT bagi saya peluang sampai tiga tahun satu bulan. Saya patut bersyukur untuk itu. Saya rasa kesedihan itu tidak patut mengganggu tugasan harian,” jelasnya.

Justeru, sempena Hari Jururawat Sedunia, dia berharap rakan setugas di seluruh negara terus bersemangat, beriltizam tinggi dan tabah dalam menempuh cabaran pandemik COVID-19 seterusnya memberi perkhidmatan perawatan kesihatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini.