KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diterima baik oleh rakyat sekiranya agihan hasil kutipannya telus dan cekap dan jelas tentang bagaimana ia dapat menambahbaik kualiti hidup mereka.

Kata penganalisis ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, pelaksanaannya yang lalu dari April 2015 hingga Jun 2018 dilihat tidak membawa perubahan besar kepada ekonomi negara biarpun dilapor hasil kutipannya mencapai berpuluh bilion ringgit.

“RM45 bilion selalu dicanangkan kutipannya tapi ke mana ia pergi?”

“Ada satu statistik koefisien gini yang menyebut tentang jurang pendapatan antara golongan masyarakat, kalau ia menghampiri kosong maksudnya jurangnya makin kecil dan kalau ia menghampiri satu jurangnya makin lebar.

“Ketika GST mula diperkenalkan, negara mencatat penurunan jadi kita anggap dengan pelaksanaan cukai itu sepatutnya kekayaan hasil yang dikutip dapat menurunkannya lebih rendah menghampiri kosong.

“Tapi pada 2019 selepas setahun GST dimansuhkan, rupanya sepanjang GST itu bukan makin turun tapi sebenarnya makin naik.”

Katanya mungkin boleh dijelaskan dengan pelaksanaan projek-projek mega yang dikatakan akan memanfaatkan rakyat pada akhirnya, tetapi tiada keseimbangan di situ kerana rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah tidak merasakan kos sara hidup mereka menurun.

Jika telus agih hasil, rakyat akan terima baik pelaksanaan semula GST - Penganalisis Ekonomi

Sepatutnya jelas Ahmed Razman, perlu ada satu mekanisme laporan kepada setiap tindakan melibatkan kutipan dan agihan hasil cukai itu, sepertimana yang dilaksanakan semasa pandemik tempoh hari.

“Dengan pelbagai pelan pemulihan dan rangsangan ekonomi, unit LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan setiap minggu melaporkan status kepada Perdana Menteri, berapa banyak disalurkan, berapa banyak dana sudah dihabiskan, berapa ramai yang mendapat manfaat.

“Kenapa kita tidak boleh buat benda yang sama dari segi transparensi dan akauntabiliti pelaporan duit yang dikutip itu pergi ke mana?

“Setiap tahun kita buat Bajet mengatakan inilah duit yang akan kita belanja untuk itu dan ini tetapi kita tak pernah tahu betulkah ia sudah disalurkan sepertimana yang diumum.”

Beliau yakin sekiranya ‘ubat pahit’ ini, yakni GST, dapat ditunjukkan memberikan hasil yang ‘menyihatkan’ kehidupan rakyat, nescaya mereka tidak berdalih untuk menerima pelaksanaannya semula dengan hati terbuka.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop. Tonton sesi penuh di sini: