Skip to main content

Berita

Op Lapangan Terbang: Penunggang Yamaha 135LC kena 13 saman

Penunggang dan motosikalnya diperiksa sebelum dikenakan saman atas pelbagai kesalahan. Foto: JPJ
Penunggang dan motosikalnya diperiksa sebelum dikenakan saman atas pelbagai kesalahan. - Foto: JPJ/Sinar Harian

KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dikenakan 13 saman atas kesalahan antaranya ubah suai ekstrem dan cukai jalan tamat tempoh terlalu lama yang dikesan dalam operasi bersepadu sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, penunggang berusia 20 tahun dan motosikal tersebut antara diperiksa semasa operasi yang menyasarkan aktiviti samseng jalanan termasuk lumba haram.

Advertisement

“13 saman dikenakan kerana ubah suai motosikal secara ekstrem, penunggang tidak mempunyai lesen dan cukai jalan tamat tempoh sejak 2018.

“Motosikal tersebut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Beliau berkata, dalam operasi sama sebuah kereta jenis Honda turut disita kerana kesalahan menukar enjin tanpa kebenaran.

Operasi berkenaan melibatkan kerjasama antara JPJ Negeri Kelantan dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Polis Bantuan Lapangan Terbang.

Katanya, secara keseluruhan operasi dari jam 4 petang hingga 2 pagi itu, sebanyak 171 notis saman dikeluarkan manakala 16 kenderaan disita hasil pemeriksaan terhadap 205 kenderaan.

JPJ merekodkan tindakan 41 kes dengan 80 notis dikeluarkan serta lima kenderaan disita terdiri daripada empat motosikal termasuk Yamaha 135LC dan kereta Honda tersebut.

“Bagi tindakan oleh polis, sebanyak 91 kes direkodkan dengan 11 kenderaan disita melibatkan 10 motosikal dan sebuah kereta.

“Seramai 12 individu turut menjalani saringan air kencing dan kesemuanya didapati negatif,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video