Keselamatan Penasihat Kedutaan Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain bukan sahaja didoakan anggota keluarganya, malah jiran-jiran ibunya di Kampung Raja Uda di sini, turut mendoakan supaya beliau, isteri serta tiga anaknya selamat dan dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, beliau hanya mengetahui anak jirannya itu antara 11 rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan keluar dari Korea Utara kira-kira dua hari lepas.

"Saya berdoa untuk keselamatan mereka, harap mereka boleh balik sini segera," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Jumaat.

Mohd Nor Azrin, isterinya Iza Karmila Ramli dan tiga anak mereka, Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah serta Ayscha Zinnirah merupakan antara 11 rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara sebagai tindak balas sejurus Malaysia mengusir keluar dutanya, Kang Chol selepas diisytiharkan sebagai Persona Non Grata atau orang yang tidak dialu-alukan.

Namun dua rakyat Malaysia, Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy yang sedang mengikuti Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah dibenarkan keluar dari Pyongyang dan kini berada di Beijing.

Seorang lagi jiran yang ditemui pula berharap kerajaan dapat melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan Mohd Nor Azrin dan rakyat Malaysia di sana.

"Harap kerajaan Malaysia dapat berbincang elok-elok dengan kerajaan Korea Utara, keselamatan orang kita perlu menjadi keutamaan," kata pesara kerajaan itu yang mahu dikenali dengan nama Omar.

Terdahulu, kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Kampung Raja Uda menunaikan solat hajat sejurus selesai solat Jumaat bagi mendoakan keselamatan Mohd Nor Azrin dan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Sementara itu, usaha Bernama untuk menemui ibu dan anggota keluarga Mohd Nor Azrin tidak kesampaian berikutan mereka tiada di rumah sejak pagi.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Chol, yang telah disahkan polis sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lalu. -- Bernama