PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas empat kontena mengandungi daging babi seberat 96,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.7 juta yang dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Norlela Ismail berkata daging tersebut dirampas oleh bahagian penguatkuasaan pihaknya dalam operasi pada 13 Feb lepas di Pelabuhan Utara, di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan muatan daging babi dari Brazil dipercayai untuk kegunaan sempena Tahun Baharu Cina lepas.

"Modus operandi yang digunakan ialah dengan mengikrar tidak benar dagangan sebagai 'furniture accessories' melalui Borang Manifes bagi mengelak dikesan pihak JKDM," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Norlela berkata pihaknya turut merampas sebuah kontena dari Hong Kong di Pelabuhan Barat, di sini, yang mengandungi 17,000 unit pistol angin dengan anggaran nilai dan cukai RM4.4 juta.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan pistol tersebut yang dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Nilai dagangan dianggarkan RM1.8 juta dan cukai terlibat berjumlah RM2.6 juta," katanya.

Menurutnya JKDM Selangor juga berjaya menyekat penyeludupan mercun tidak berpermit dan tidak mematuhi syarat digariskan pihak Kementerian Dalam Negeri, dalam lima serbuan berasingan antara 5 dan 8 Feb lepas yang melibatkan nilai serta cukai berjumlah RM694,000.

Norlela berkata menerusi serbuan di sekitar Klang dan Pelabuhan Klang serta di Masjid Tanah, Melaka itu, pihaknya turut merampas 2,270 kotak mercun dan menahan dua pemilik gudang warga tempatan.

Menurutnya turut dirampas dalam siri serbuan itu 664 unit televisyen android dan 1,900 unit kipas siling kerana tidak mempunyai permit atau kelulusan daripada SIRIM Bhd dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Televisyen android itu diisytiharkan sebagai mozek lantai sebelum berjaya dikesan menerusi pengimbasan imej. Perbuatan ini benar-benar dengan niat menyeludup kerana mengisytiharkannya sebagai barangan lain," katanya.

Norlela berkata JKDM Selangor turut merampas minuman keras melibatkan nilai barangan dan cukai sebanyak RM4.63 juta dalam lima kontena di Pelabuhan Utara, di sini pada 9 dan 13 Feb lepas.

Beliau berkata kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA