KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) mengesan sebanyak 6,476 kes melibatkan jenayah barangan kontraban, haiwan dan hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan, sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,356 tangkapan dibuat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM789.99 juta.

Tindakan diambil termasuk oleh Cawangan Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas yang membuat tangkapan dan rampasan terhadap pelbagai barangan makanan sejuk beku dianggar bernilai RM21 juta.

"Manakala Briged Tenggara PGA pula berjaya merampas 495 kilogram dadah disyaki jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.8 juta.

"Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula berjaya melaksanakan sebanyak 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta.

"Menerusi Op Kontraban melibatkan rokok dan minuman keras tidak bercukai pula, Pasukan Polis Marin berjaya menahan seramai 64 orang melibatkan 110 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM37.1 juta," katanya.

Razarudin berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut menuntut Ketua Jabatan, Pegawai Pemerintah dan Penyelia PDRM untuk memperkasakan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan lebih agresif untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Tegas beliau, kesemua mereka hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyeliaan dan pemantauan terhadap Pegawai Polis di bawah seliaan masing-masing tanpa pilih kasih atau berat sebelah.

"Pegawai Pemerintah hendaklah bertanggungjawab dan mengambil cakna tentang tingkah laku pegawai bawahan, memberi teguran, membetulkan, seterusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai seliaan masing-masing yang mempamerkan apa jua bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan imej PDRM.

"Bagi memastikan keberkesanannya secara berterusan, arahan ini perlulah disampaikan dalam setiap roll call, perjumpaan serta mesyuarat di semua peringkat sehingga ia dapat diadaptasi serta dihayati seterusnya dibudayakan oleh semua lapisan warga PDRM," katanya.

Dalam perhimpunan itu, Razarudin turut mengumumkan pelancaran Tabung Kecemasan Solidariti Palestin Masjid Bukit Aman bersama MyFundAction yang akan diadakan dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman, malam ini.