KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) digesa untuk menyemak semula syarat kelulusan kren gondola dan peralatan yang digunakan untuk pembinaan bangunan-bangunan tinggi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kren gondola juga wajib dilengkapi ciri-ciri keselamatan tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Pada masa yang sama, saya ingin mengesyorkan pekerja penyelenggaraan supaya diberi taklimat mengenai kemungkinan perubahan cuaca dan menjalani latihan keselamatan secara berkala," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu. 

Tular sebuah video yang memaparkan sekumpulan pekerja penyelenggaraan berada dalam kren gondola yang terhayun dengan kuat beberapa kali ketika ribut di sebuah bangunan di Jalan Kemuning, di sini.

Video berdurasi 2:32 minit yang tular di media sosial itu memaparkan kren gondola dinaiki beberapa pekerja penyelenggaraan terhayun dengan kuat dan hilang kawalan serta menghentam struktur bangunan.

Bagaimanapun kesemua pekerja kren gondola itu selamat tanpa sebarang kecederaan.

BACA: Pekerja penyelenggaraan cemas gondola dipukul ribut

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, insiden itu seharusnya dijadikan sebagai pengajaran dan pihak berkaitan perlu menyusun langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

"Kita tidak boleh menunggu sehingga satu lagi tragedi yang hampir berlaku dan baru tindakan diambil," ujarnya.

Katanya, semua pihak harus bersedia dan bersifat proaktif bagi mendepani sebarang kesan cuaca buruk yang boleh mengakibatkan kerosakan di luar jangkaan.