JKM ingatkan sumbangan perlu diselaras elak pembaziran di PPS

Langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya lambakan, pembaziran, pertindihan barangan bantuan dan kerosakan barangan yang tidak digunakan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Semua bentuk bantuan dan sumbangan kepada mangsa bencana perlu diselaraskan terlebih dahulu bagi memastikan ia bersesuaian dengan keperluan serta mencukupi untuk mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya lambakan, pembaziran, pertindihan barangan bantuan dan kerosakan barangan yang tidak digunakan.
Menurut jabatan itu, pihaknya amat menghargai keprihatinan orang ramai dan pelbagai pihak yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan ketika berlaku bencana di seluruh negara.
"Sehubungan itu, terdapat tiga saluran sumbangan kepada mangsa bencana iaitu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Ibu Pejabat JKM atau JKM Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) serta PPS.
"Penyumbang boleh merujuk InfoBencanaJKM di pautan https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat berhubung status pembukaan PPS dan bilangan mangsa di PPS," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memberitahu sebarang maklumat lanjut berhubung penyaluran sumbangan untuk tujuan berkenaan boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan JKMN.
Bagi penyumbang yang berada di Perlis, JKM memaklumkan, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan JKMN di talian 04-970 8160, Kedah 04-700 1700, Pulau Pinang 04-650 5258/9, Perak 05-254 5505, Selangor 03-5545 5598, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur 03-401 0400 dan Negeri Sembilan 06-765 9332.
Selain itu, di Melaka 06-232 4670, Johor 07-233 0399, Pahang 09-565 0284, Terengganu 09-627 4262, Kelantan 09-741 6925, Sabah 088-255 133, Sarawak 082-374 888 dan WP Labuan 087-424 961.
Menurut laman sesawang InfoBencanaJKM, setakat 8.45 malam ini, sebanyak 19,847 mangsa banjir ditempatkan di 138 PPS di 10 negeri termasuk WP Kuala Lumpur.
Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 9,344 orang daripada 3,481 keluarga, dengan 41 PPS dibuka di empat jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


