BATU PAHAT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membincangkan cadangan kenaikan elaun pascaasas kejururawatan menerusi satu pasukan petugas antara kementerian yang ditubuhkan tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perbincangan itu akan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan yang melibatkan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kewangan.
Advertisement
Beliau berkata kementerian telah mengambil maklum perkara berkenaan dan perbincangan awal sudah pun dijalankan oleh pasukan petugas KKM.
"KKM telah pun mengambil perhatian perkara ini dan dalam waktu terdekat, saya rasa pasukan petugas antara kementerian akan mula adakan perbincangan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Kesihatan Tongkang Pechah, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya elaun berkenaan dinaikan.
Dzulkefly berkata KKM akan memastikan semua cadangan berhubung isu itu diteliti sebaiknya, sambil menambah bahawa isu berkaitan kebajikan petugas kesihatan sentiasa diberi perhatian.
"Saya pastinya mahu menjaga kebajikan pasukan petugas kita, tidak kira siapa pun, jururawat mahupun doktor, pakar dan sebagainya," katanya.
MMA baru-baru ini menggesa kerajaan agar menaikkan elaun berkenaan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan berbanding RM100 ketika ini, selain memperkenalkan mekanisme semakan berkala yang tersusun.
Presidennya Datuk Dr R Thirunavukarasu dilaporkan berkata sudah tiba masanya elaun itu dinaikkan selepas ia kekal pada kadar sama selama 17 tahun.
Sementara itu, Dzulkefly mengulangi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan stabil hingga Jun ini, dan menegaskan bahawa pihak KKM sentiasa memantau perkara berkenaan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata bekalan ubat-ubatan sentiasa dipantau melalui pelaksanaan proses semakan stok dan pengurusan inventori yang berterusan di fasiliti kesihatan.
Menurutnya, kementerian turut melaksanakan libat urus bersama pemain industri bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung senario bekalan ubat di pasaran.
KKM sebelum ini dilaporkan berkata bekalan ubat-ubatan kritikal di negara ini termasuk insulin dan vaksin berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat buat masa ini.
Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan juga mengambil langkah persediaan berhubung perkara itu, sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan, termasuk melaksanakan langkah mitigasi jangka sederhana dan panjang.
-- BERNAMA