Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu telus dan berintegriti dalam menyalurkan bantuan terutama ketika negara ditimpa musibah.

Bekas Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, data yang dimiliki JKM perlu telus selain elak pengaruh politik.

“Kita kena ingat bahawa dalam masa musibah ini, tak patut kita melakukan kesalahan-kesalahan melibatkan isu integriti sebab kita kena ingat bahawa musibah yang berlaku ini merupakan sesuatu yang diduga Allah SWT.

“Jadi, sudah tentu apabila kita masih lagi tidak takut untuk menyeleweng bantuan-bantuan yang patut diberi kepada orang miskin dan tidak berada ini, mengambil kesempatan demi kepentingan politik atau beri kepada kroni dan adik-beradik mereka ini yang sudah tentu lebih mampu, ia akan memberi impak kepada masyarakat yang sedia ada,” katanya kepada Astro AWANI.

Tegasnya, mekanisme semak dan imbang perlu wujud dalam JKM di mana jumlah pemberian perlu sama dengan jumlah penerima termasuk sistem agihan yang telus dengan melantik pihak ketiga yang tidak berkepentingan untuk membuat pengesahan pengagihan.

“Ini merupakan satu amanah negara. Bantuan ini bukan percuma, ia merupakan duit rakyat. Kerajaan telah berbelanja berbilion Ringgit kerana untuk menyampaikan bantuan ini, jangan salah gunakan.

“Sudah lah masa bukan musibah, banyak juga ketirisan dan penyelewengan berlaku. Apakah di masa musibah ini kita juga akan turut menyeleweng wang dan bantuan makanan sebagainya yang patut diberi kepada masyarakt yang berkehendakkan bantuan.

"Tapi sebaliknya kita salurkan kepada orang lain yang berada, kadang-kala kita ambil untuk diri kita sendiri. Ini tak patut berlaku dan kita perlu kekalkan integriti kita,” tegasnya.

Justeru katanya, penglibatan bersama badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan pemimpin tempatan amat penting dalam memastikan ketelusan penyaluran bantuan dapat direalisasikan.