Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mencadangkan supaya Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ditambah baik.

Ia bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan untuk kes rasuah.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, cadangan itu melibatkan syor agar kerajaan meminda peruntukan dalam Seksyen 36.

Ia bagi membolehkan SPRM terus menyiasat pemilikan harta seseorang yang disyaki terlibat dengan rasuah.

Katanya SPRM tidak mempunyai kuasa untuk terus meminta seseorang membuat pengisytiharan tanpa ada siasatan ke atas kesalahan rasuah individu terbabit.

Mengenai Seksyen 23 pula, Mohd Radzi berkata, JKMR meminta kerajaan mencari mekanisma terbaik menangani isu pemberian kontrak, tender atau perolehan oleh seorang anggota pentadbiran kepada anggota keluarga terdekat.

"Kami berfikir bahawa ini merupakan satu kelemahan yang difikirkan boleh dicadangkan supaya kerajaan melihat bagaimana hendak memperkuatk undang-undang ini. Seperti di Hong Kong umpamanya, terdapat undang-undang yang serupa namun tidak memerlukan penyiasatan terlebih dulu."

Justeru jika cadangan ini dipraktikkan pegawai penguatkuasa boleh terus mengeluarkan notis pengisytiharan harta apabila mendapat maklumat tanpa perlu penyiasatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.

Mohd Radzi turut meminta SPRM mengubah persepsi rakyat dengan memberi penjelasan bahawa ia sebuah badan yang bebas.