KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 20,819 notis dengan kompaun berjumlah lebih RM5.51 juta melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata JKNP merupakan pengeluar kedua tertinggi notis pada 2023 bagi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 manakala ketiga tertinggi bagi Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

Beliau berkata dalam tempoh itu sebanyak 13,449 notis melibatkan kompaun berjumlah lebih RM3.169 juta bagi kesalahan di bawah PPKHT 2004 dikeluarkan selain 4,966 notis turut dikeluarkan bagi kesalahan PPM 1985 dan PPKM 2009 dengan kompaun bernilai lebih RM1.185 juta.

"Penguatkuasaan merupakan langkah terakhir bagi memastikan orang ramai patuh kepada perundangan kesihatan awam yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Dr Rusdi berkata sebanyak 448 notis berkaitan kesalahan larangan merokok di bawah perundangan PPKHT 2004 dengan nilai kompaun RM108,600 telah dikeluarkan daripada 364 premis yang diperiksa dalam Operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan Awam JKNP Tahun 2024.

Beliau berkata sebanyak 130 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makanan, hentian pengangkutan awam (117 notis), kompleks membeli-belah (112 notis) dan lain-lain tempat (80 notis) selain sembilan notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

Operasi yang digerakkan JKNP selama empat hari bermula 27 Feb lepas itu turut mengeluarkan sebanyak 137 notis kesalahan daripada 65 premis yang diperiksa di bawah PPM 1985 dan PPKM 2009 dengan melibatkan kompaun berjumlah RM103,700 selain 12 premis telah ditutup.

"Pengeluaran notis kesalahan adalah terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi keperluan dalam penyelenggaraan premis makanan (49 notis) serta pengendali makanan yang melanggar tatacara pakaian serta kebersihan diri (88 notis)," katanya.

Selain itu, bagi perundangan di bawah Akta Makanan 1983 serta Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, sebanyak 12 premis daripada 20 premis yang diperiksa didapati positif pembiakan dan telah dicadangkan kompaun berjumlah RM6,000.

-- BERNAMA