KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bakal menumpukan usaha meningkatkan hubungan Malaysia-China dalam kerangka legislatif dan isu kelestarian alam, sewaktu lawatan rasmi selama empat hari, bermula 23 September ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Pejabat Parlimen Malaysia berkata, Johari akan ke Hangzhou untuk mengadakan pertemuan pelbagai hala bersama Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping selain menghadiri Sukan Asia ke-19 di Hangzhou.

Lawatan sulung beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke negara itu diadakan atas undangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China (NPC), Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin-pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia.

“Lawatan rasmi ini adalah tindakan proaktif Parlimen Malaysia untuk memainkan peranan yang signifikan bagi melonjakkan hubungan Malaysia-China dalam kerangka legislatif dan perbincangan isu kelestarian alam yang pragmatik antara dua negara.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun 2024. Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Johari dalam kenyataan tersebut menyifatkan lawatan itu amat signifikan dalam mempertingkatkan hubungan yang utuh antara dua negara bukan sahaja di peringkat parlimen.

Beliau berkata, ia juga bakal meningkatkan kerjasama dua hala yang baik dalam pelbagai bidang penting, termasuk sosioekonomi, pembangunan belia dan diplomasi antara budaya.

“Selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024, Parlimen Malaysia bersedia untuk memperkembangkan jalinan kerjasama yang baik ini bersama Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China dalam menyumbang kepada kesinambungan kerjasama yang saling menguntungkan antara dua negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Di Beijing, kenyataan tersebut menyebut, Johari akan menyampaikan syarahan umum “ASEAN dalam Abad Asia” kepada penuntut-penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal mempengerusikan ASEAN pada 2025 demi memperluaskan kepentingan rantau ASEAN.

Peralihan kepimpinan ASEAN tersebut, menurut kenyataan itu lagi, merupakan peluang yang strategik dalam membentuk hubungan ASEAN-China dalam Abad Asia.

Selain itu Parlimen Malaysia berkata, Johari turut dijadualkan akan melawat syarikat-syarikat gergasi China dalam bidang kecerdasan buatan, tenaga boleh baharu dan keterjaminan makanan.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Yang di-Pertua, Alice Lau Kiong Yieng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, M Kulasegaran A/L V.Murugeson, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Datuk Awang bin Hashim; serta Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), Chiew Choon Man.