JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,033 unit rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) akan dibina di Johor bermula tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau berkata harga yang ditawarkan antara RM40,000 hingga RM150,000 seunit.

"Kerajaan negeri komited untuk menyiapkan pembinaan sekurang-kurangnya 5,033 unit rumah mampu milik bermula tahun ini dan tahun depan untuk golongan B40.

"Rumah yang ditawarkan ini perlu benar-benar mampu dimiliki, bermaksud harga rumah mampu milik yang ditawarkan adalah antara RM40,000 hingga RM150,000," katanya.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga pada masa sama sedang memperhalusi perancangan perumahan untuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

Beliau berkata satu pelan dan dasar yang lebih komprehensif akan dibentangkan kepada rakyat Johor dalam masa yang terdekat bagi memastikan rakyat di negeri dapat memiliki rumah sendiri.

-- BERNAMA