Johor mencatatkan 28 kematian akibat demam denggi bagi tempoh Januari sehingga 15 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 18 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

"Sehingga 15 Ogos juga, Johor melaporkan sebanyak 7,409 kes demam denggi, ia sekali gus menjadikan kita negeri ketiga tertinggi kes demam denggi di Malaysia, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Johor Perangi Denggi 2020 oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

Vidyananthan berkata daripada 7,409 kes yang dilaporkan, sebanyak 5,963 kes berlaku di daerah Johor Bahru.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan masalah kesihatan awam membabitkan denggi dapat dikekang menerusi Kempen Johor Perangi Denggi 2020 ini.

"Kempen Johor Perangi Denggi ini merupakan inisiatif dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memerangi denggi di negeri ini.

"Demam denggi merupakan masalah kesihatan awam yang berkembang dan merupakan ancaman kepada penduduk negeri ini. Ini merupakan satu cabaran yang dihadapi dalam pencegahan dan kawalan demam denggi di Johor," katanya.

Kempen berkenaan, kata beliau, berbentuk aktiviti penglibatan komuniti yang berupaya untuk memutuskan jangkitan denggi di dalam komuniti.

Beliau berkata, kempen berkenaan digerakkan secara bersepadu bersama antaranya melibatkan agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ketua-ketua masyarakat serta sukarelawanProgram Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi).

-- BERNAMA