MALAYSIA
Johor kaji model pengurusan pasar dan pusat penjaja Singapura

Onn Hafiz (kiri) berkata pasar dan pusat penjaja Geylang Serai Market Food Centre menjadi pusat komuniti penting dan simbol warisan budaya masyarakat Melayu di Singapura. - Foto Facebook Onn Hafiz
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengkaji model pengurusan pasar dan pusat penjaja Geylang Serai Market Food Centre yang diurus Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura untuk disesuaikan di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, berkata beliau dan delegasi negeri berpeluang meneliti secara dekat model pengurusan pusat penjaja itu yang tersusun, bersih dan inklusif dalam lawatan ke negara tersebut.
"Antara aspek menarik termasuk kadar sewa terkawal bagi menjamin harga makanan berpatutan untuk menjamin harga mampu milik kepada pengguna.
"Ia turut dilengkapi sistem penggredan kebersihan yang ketat, latihan wajib kepada pengendali makanan, penguatkuasaan melalui teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV), sistem e-denda dan penggunaan sensor pintar untuk sanitasi serta pemantauan kesesakan."Selain itu, NEA turut mengurus pusat itu melalui model social enterprise iaitu pengendali bukan untung yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan peniaga kecil dan mengekalkan keseimbangan sosial," katanya.
Onn Hafiz berkata kompleks dua tingkat menempatkan 302 lot pasar basah dan 63 gerai makanan halal itu juga menjadi pusat komuniti penting dan simbol warisan budaya masyarakat Melayu di Singapura.
Beliau berkata pendekatan itu amat relevan untuk diteliti dan disesuaikan di Johor, khususnya dalam usaha mentransformasikan pengurusan pasar awam dan pusat penjaja agar lebih cekap, mampan serta menyokong ekonomi rakyat terutama golongan mikro, B40 dan usahawan kecil.
"Matlamat kita adalah untuk memperkukuh sektor ekonomi komuniti melalui kemudahan lebih teratur, bersih dan mesra pengguna demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri yang inklusif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami