ISKANDAR PUTERI: Johor meminta supaya Kerajaan Persekutuan menimbangkan keputusannya untuk tidak lagi meneruskan inisiatif Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dan Bantuan Pembaikan Rumah (BPR) kepada mangsa banjir.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri telah dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai bantuan BBKA dan BPR tidak lagi diteruskan.

Beliau berkata realitinya sebahagian besar isu banjir di Johor tidak akan selesai selagi projek-projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) tidak dilaksanakan.

"Selagi projek-projek RTB Johor tidak selesai, bantuan-bantuan ini perlu diteruskan," katanya dalam sesi penggulungan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

"Semasa mesyuarat penyelarasan banjir (baru-baru ini), saya terkilan apabila dilaporkan bahawa kerja fizikal projek-projek RTB Johor di daerah Batu Pahat, Kota Tinggi, Segamat dan Kluang yang bernilai RM 1.6 bilion belum lagi bermula dan dijadualkan hanya akan siap pada tahun 2030," katanya.

Bagaimanapun menurutnya Kerajaan Negeri tidak pernah berpeluk tubuh, dengan sesi libat urus terus dilaksanakan, dan garis masa projek-projek RTB itu akan dipendekkan, diusahakan supaya disiapkan tiga tahun lebih awal daripada perancangan asal.

Onn Hafiz berkata projek RTB itu meliputi komponen seperti menaik taraf sungai, pembinaan lencongan sungai, melebar dan mendalam sungai, memperkukuhkan tebing-tebing, pembinaan floodwall, kolam takungan banjir serta pintu kawalan pasang surut.

Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi menangani masalah banjir yang berlaku, beliau berkata enam pam mudah alih akan ditambah dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta, menjadikan aset pam bergerak berjumlah 48 kesemuanya.

Berhubung bantuan melibatkan mangsa banjir, beliau berkata Kerajaan Negeri dengan bantuan NADMA telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM125 juta melibatkan 64,742 Ketua Isi Rumah seluruh Johor dengan pengagihannya telah selesai pada Julai lepas.

Sementara itu, Menteri Besar juga berkata NADMA juga bersetuju menyalurkan Bantuan Ihsan Khas RM9.3 juta iaitu permohonan rayuan dengan 6,512 keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000; 1,261 keluarga akan menerima RM2,000 dan 98 keluarga menerima bantuan RM3,000, dengan kesemuanya disalurkan sebelum hujung bulan ini.

-- BERNAMA