MALAYSIA
Johor perkukuh kawalan tangani konflik manusia-gajah - Exco

Ling berkata operasi besar-besaran menangkap dan memindahkan lebih banyak gajah khususnya dari daerah Kluang dijadualkan bulan depan. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Johor memperkukuh kawalan dan mengambil langkah proaktif dalam usaha menangani konflik manusia-gajah yang semakin meningkat dalam tiga tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata menurut data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kes konflik manusia-gajah meningkat daripada 103 kes pada 2020 kepada 253 kes tahun lepas dengan daerah Kluang merekodkan jumlah aduan tertinggi.
Beliau berkata meskipun Perhilitan di bawah kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan khas bagi melaksanakan pelan memperkukuh kawalan kes-kes berkenaan.
"Selain itu, Perhilitan hanya mempunyai satu pasukan profesional di Johor yang mengendalikan urusan berkaitan gajah yang mana mereka telah memindahkan sebanyak 10 ekor haiwan liar itu ke habitat yang lebih sesuai pada 2024."...manakala pada tahun ini melalui penyelarasan kerajaan negeri serta bantuan dana yang diberikan, sebanyak 17 ekor gajah telah berjaya dipindahkan sehingga kini, " katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, Ling berkata operasi besar-besaran menangkap dan memindahkan lebih banyak gajah khususnya dari daerah Kluang dijadualkan bulan depan.
"Ekosistem semula jadi kini semakin terancam berikutan pencerobohan kawasan habitat hidupan liar selain aktiviti penanaman semula kelapa sawit di kawasan bersebelahan hutan yang menyebabkan gajah lebih mudah mendapatkan makanan.
"(Oleh itu), keadaan ini mengakibatkan lebih banyak insiden kawanan gajah keluar dari hutan untuk mencari sumber makanan (yang mana) di Johor, hanya terdapat kira-kira 160 ekor gajah liar justeru perlindungan sewajarnya perlu diberikan agar spesies berkenaan dapat terus hidup dalam persekitaran ekologi semula jadi serta memastikan keseimbangan hutan dikekalkan," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami