Kerajaan Negeri menyasarkan 10,000 sukarelawan menyertai Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) pada tahun hadapan bagi membantu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai wabak denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Warisan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sasaran itu sekaligus dapat membantu menyelesaikan masalah peningkatan wabak denggi sebanyak 101 peratus di tiga daerah utama iaitu Batu Pahat, Mersing dan Kluang.

Sasaran itu antara fokusnya adalah untuk memastikan setiap satu isi rumah mempunyai satu sukarelawan dan sekurang-kurangnya terdapat 1,000 sukarelawan di setiap daerah.

Setakat ini terdapat 6,000 sukarelawan seluruh daerah di 615 lokaliti iaitu 537 Combi komuniti, lapan di Institusi Pengajian Tinggi, 10 agensi kerajaan, 53 sekolah, empat swasta dan tiga kilang.

"Ini usaha kita sekarang bagi memastikan masyarakat di luar sana tahu Combi dan peranannya, mereka adalah satu ejen dan pertubuhan bukan kerajaan yang mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan dan pejabat saya untuk menjalankan tanggungjawab maklum kepada masyarakat mengenai denggi," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Dalam masa sama, Mohd Khuzzan berkata, pihaknya mahu mengaktifkan anggota sukarelawan sedia ada bagi memastikan ia sentiasa bergerak dalam usaha untuk mendekati masyarakat.

"Selepas 20 tahun semenjak penubuhannya (Combi), masih ada masyarakat di luar sana yang tidak maklum mengenai kewujudan Combi.

"Justeru itu, dengan satu isi rumah, satu sukarelawan dapat membantu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat sekaligus Combi semakin dapat dikenali," katanya.

Mohd Khuzzan berkata, walaupun terdapat pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras wabak denggi di negeri ini, namun jika masyarakat tidak mempunyai kesedaran sivik, ia tidak akan berjaya.

-- BERNAMA