JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang berusaha menyelesaikan masalah penempatan bagi 165 keluarga di Kampung Hajah Hasnah di sini susulan mereka telah menerima notis perobohan unit kediaman dan diarahkan berpindah serta mengosongkan rumah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesemua ketua isi rumah (KIR) berkenaan dikenal pasti layak dan dalam proses penawaran rumah ganti.

"Sebahagian daripada 165 keluarga ini merupakan penyewa dan bukan penduduk asal Kampung Hajah Hasnah. Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan masalah ini agar tidak ada rakyat Johor yang hilang tempat berteduh tanpa dibela nasibnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata 165 keluarga itu merupakan sebahagian daripada 253 KIR di Kampung Hajah Hasnah yang menerima notis, dengan baki 54 keluarga sudah mempunyai pemilikan Pangsapuri Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) di sini, manakala 34 keluarga pula telah memiliki hartanah di tempat lain, penduduk tetap dan bukan warganegara.

Katanya daripada angka itu, sebanyak 22 unit rumah usang yang tidak berpenghuni atau sudah dikosongkan telah dirobohkan pada Isnin lepas.

Jelas Mohd Jafni, Kampung Hajah Hasnah yang terletak di mukim Plentong itu merupakan antara kawasan setinggan di negeri ini dan sejak 2008, penduduk asal kampung itu telah pun ditawarkan sebanyak 2,720 unit rumah di Pangsapuri EDL.

"Kesemua penduduk asal telah berpindah ke Pangsapuri EDL, namun atas sebab unit rumah tidak dirobohkan, segelintir penduduk asal yang ditawarkan rumah telah menyewakan rumah setinggan mereka kepada orang lain atau menyerahkan rumah untuk diduduki kepada waris atau ahli keluarga yang lain," katanya.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan itu adalah antara usaha kerajaan negeri membela nasib rakyat agar boleh hidup dalam persekitaran yang lebih bersih dan terhindar daripada kawasan bencana.

"Kampung ini terletak di atas tanah rizab sungai yang jaraknya dari sungai hanya 50 meter sahaja. Ia menyebabkan kampung ini kerap terlibat dengan banjir sekali gus memberi kesan kepada penduduk. Selain itu, atas sebab berstatus setinggan, mereka tidak mempunyai sistem pengurusan kumbahan dan kebersihan yang efisien," katanya.

Menurut beliau penguatkuasaan bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, Pejabat Tanah serta Polis Diraja Malaysia dengan operasi penguatkuasaannya dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keadaan setiap unit yang terlibat.

Selasa lepas, media melaporkan kira-kira 100 keluarga di kampung itu buntu selepas diarahkan Pejabat Tanah untuk berpindah dan mengosongkan rumah masing-masing dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada projek pembangunan. - BERNAMA