JOHOR BAHRU: Johor sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim tengkujuh termasuk banjir.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad berkata, kelewatan dalam usaha menyelamat dan memberikan bantuan kepada semua mangsa banjir tidak boleh dikompromi kerana nyawa dan keselamatan rakyat adalah keutamaan.

Menurutnya, beberapa perkara telah dibincangkan hasil taklimat dan pertemuan secara maya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Jelas beliau, ia termasuk penambahbaikan sistem pengurusan bencana banjir dengan mengambil kira keadaan di luar jangkaan.

"Kita juga berbincang langkah mempertingkatkan persiapan menghadapi banjir serta pengukuhan sistem komunikasi sebaran awal kepada masyarakat sekitar.

"Saya juga mengarahkan agensi yang terlibat untuk melakukan latihan penyelarasan bagi menghadapi bencana di luar jangkaan.

"Latihan tersebut adalah bertujuan bagi memastikan gerak kerja menyelamat dan memberikan bantuan semasa bencana banjir dapat diselaraskan dengan baik serta dilakukan segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hasni, dalam mendepani situasi bencana, agensi dan jabatan yang terlibat diseru supaya mengurangkan kerenah birokrasi serta tidak menuding jari atau menyalahkan pihak lain.

Katanya, semua pihak perlu terus memberi kerjasama dan saling membantu dalam menghadapi sebarang bencana.

"Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan sukarelawan termasuk belia sentiasa bersedia untuk tampil membantu mangsa banjir, termasuk di negeri-negeri lain.

"Sekiranya berlaku bencana banjir, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah sepatutnya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Saya tahu rakyat Johor memang terkenal dengan sikap dan keprihatinan yang tinggi dalam membantu golongan yang ditimpa bencana dan kesusahan.

"Namun, dalam kita sibuk membantu, saya ingin ingatkan semua pihak supaya tidak leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ingatlah bahawa kita masih memerangi pandemik COVID-19," ujarnya.