MALAYSIA
Johor sita 1,997 produk vape, keluar 10 kertas siasatan - Exco

Penguatkuasaan telah dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016, Akta Kerajaan Tempatan. - Foto Facebook/Ah Soon
JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,997 produk vape atau rokok elektronik telah disita meliputi jenis pakai buang, perisa dan peranti dalam satu operasi bersepadu penguatkuasaan sitaan produk berkenaan di KSL City Mall.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata pelaksanaan operasi itu dijalankan kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru Dr Haidar Rizal Toha serta Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKN Kayrul Hidayah Mansor.
"Penguatkuasaan telah dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016, Akta Kerajaan Tempatan.
"(Susulan itu), sebanyak lapan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi, Kesihatan Awam 2024 manakala dua lagi di bawah Seksyen 7 (1)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.Pada masa sama, Ling turut menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap kegiatan penjualan produk vape.
"Penjualan produk ini dilarang sama sekali, (oleh itu) mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan tegas. Kerajaan Negeri Johor telah melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik sejak 2016.
"Justeru, saya ingin memberi peringatan kepada semua peniaga agar tidak menjual produk vape dalam apa jua bentuk. Kita bersama pihak berkuasa tempatan dan JKN akan terus mempergiat lagi operasi penguatkuasaan ini di seluruh negeri bagi memastikan kesihatan rakyat, khususnya golongan muda," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami