MALAYSIA

Johor tidak pernah tawar subsidi, rumah percuma kepada warga asing - Mohd Jafni

Bernama 05/09/2025 | 12:00 MYT
Mohd Jafni menjelaskan rumah percuma di Johor hanya diberikan kepada golongan miskin tegar di bawah inisiatif RKJ. - Gambar Facebook Mohd Jafni Md Shukor
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menegaskan tidak pernah dan tidak akan menawarkan subsidi atau rumah percuma kepada warga asing termasuk Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata laporan kononnya terdapat tawaran seumpama itu adalah tidak benar dan merupakan satu penipuan atau "scam".

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri telah menetapkan harga lantai sebanyak RM1 juta bagi pembelian rumah oleh warga asing.

"Polisi ini kekal sebagai langkah melindungi kepentingan rakyat tempatan dan memastikan rumah mampu milik sentiasa menjadi keutamaan untuk rakyat Johor," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata 19 kes penipuan membabitkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan kerugian kira-kira RM155,000 yang telah dilaporkan sebelum ini, seharusnya menjadi peringatan agar rakyat lebih berwaspada terhadap tawaran meragukan dan perlu merujuk saluran rasmi kerajaan negeri.

Mohd Jafni menjelaskan rumah percuma di Johor hanya diberikan kepada golongan miskin tegar di bawah inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ), dengan RM67.5 juta telah diperuntukkan hingga 2026 bagi sasaran pembinaan 500 unit rumah.

Beliau berkata inisiatif itu untuk memastikan keluarga miskin tegar mendapat tempat tinggal yang selesa dan terjamin.

"Hingga Jun lepas, 17,745 unit RMMJ dengan julat harga antara RM42,000 dan RM300,000 telah diserahkan kepada rakyat sekali gus menunjukkan kerajaan negeri konsisten dan keutamaan perumahan adalah untuk rakyatnya selaras aspirasi Maju Johor 2030," katanya.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad hari ini berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura susulan amaran yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.

Semalam, media Singapura melaporkan SPF memberi amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang tular di Facebook.

Mangsa penipuan didakwa menemukan iklan berserta pautan yang mempromosikan "JBSG Housing Subsidy Program" atau "Free Homes Across the Causeway" di platform berkenaan.

Laporan itu dipetik berkata iklan tersebut menggambarkan wujud kerjasama antara kerajaan Johor dan Singapura dalam penyediaan perumahan bersubsidi.

--BERNAMA



#Facebook #warga asing #subsidi #miskin tegar