JOHOR BAHRU: Johor akan meletakkan 'log boom' atau perangkap sampah di 12 lokasi hotspot yang dikenal pasti mengalirkan sampah ke Sungai Skudai.

Ia bagi memastikan sasaran Sungai Skudai bersih, dapat dicapai sebelum bulan September ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata terdapat tiga sungai di Johor yang kotor disebabkan pembuangan sampah iaitu Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Tebrau.

"Di kawasan Sungai Skudai punca kekotoran berlaku dapat kita pastikan ada usaha letak 'log boom' di 12 tempat ini dan penyelenggaraan dibuat setiap hari.

"Satu tugas besar dan percaya jika semua pihak bekerja sama dapat kita bersihkan sungai kita bermula dengan Sungai Skudai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Johor Bersih Sungai di Kampung Bakar Batu.


Antara 12 hotspot itu ialah Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

Jelas Onn, 12 lokasi hotspot itu akan diagihkan kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

Katanya dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan, 12 hotspot ini akan dipantau dan dibersihkan.

Untuk rekod, Sungai Skudai mencatat kutipan sampah 30 tan setiap bulan dalam tempoh dua tahun berturut-turut.