ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor memberikan bantuan  kewangan khas sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kakitangannya yang akan dibayar sebelum akhir tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa membentangkan Belanjawan Johor 2023 ketika Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 yang bertempat di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.

Katanya, inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam yang membantu menjayakan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata, pembayaran sumbangan berkenaan akan dibuat dua kali iaitu pada akhir tahun ini dan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri 2023.

"Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan. Mereka bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat dapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan.

"Bantuan khas kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru KAFA, petugas pusat pemulihan dalam komuniti dan guru-guru tadika Islam,

"Mudah-mudahan sumbangan kewangan ini dapat beri motivasi dalam kalangan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang," kata Menteri Besar itu lagi.

Kira-kira 13,400 kakitangan awam negeri itu bakal menerima manfaat itu.

Kerajaan Johor hari ini membentangkan belanjawan lebihan RM2.44 juta, selepas dua tahun berturut-turut merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

Diunjurkan Johor mengutip hasil dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion, manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Menurut Onn Hafiz, belanjawan yang bertemakan Maju Johor, makmur bersama rakyat itu bakal berpandukan kepada enam teras utama membabitkan tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi Johor dan jaringan keselamatan sosial

Tidak ketinggalan, kemudahan dan keperluan asas serta keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar selain orang muda Johor.