KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual pada Selasa, 10 Oktober 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menganggap ia merupakan berita baik dan membolehkan kementeriannya membantu golongan wanita secepat mungkin.

Menurutnya, penubuhan tribunal itu bertujuan untuk menyediakan platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dengan kos minimum.

Tambah beliau, tribunal itu juga menyediakan platform bagi satu hak tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual.

"Sebagai permulaan, buat masa ini, tribunal akan diwujudkan di Kuala Lumpur dahulu, dan sekiranya di masa hadapan terdapat keperluan untuk ditambah ke negeri-negeri lain, kita akan teliti semula dan usahakan sebaiknya.

"Walaupun begitu, Seksyen 12 (3) Akta Anti Gangguan Seksual 2022 ada memperuntukkan bahawa tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan pada mana-mana hari dan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat sebagaimana ditentukan oleh presiden

"Sekiranya ada keperluan untuk tribunal bersidang di negeri-negeri lain, ia masih boleh dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dalam akta ini," katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, berkaitan soalan dibangkitkan Wong Shu Qi (DAP - Kluang) mengenai status terkini penubuhan tribunal berkaitan Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

Tambah beliau, Akta Anti Gangguan Seksual 2022 [Akta 840] dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023.

Fasa pertama penguatkuasaan Akta itu adalah melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam manakala penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual pula adalah pada Fasa yang kedua.