Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan mengerah kesemua anggota tetap dan sukarelawannya seramai 11,000 orang di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.

Ketua Pengarahnya Datuk Sulaiman Keling berkata langkah tersebut bagi memastikan tindakan pantas dan cekap dapat diberi kepada mangsa banjir di negara ini.

Beliau berkata JPAM turut merangka strategi efektif melibatkan pembahagian anggota tetap dan sukarelawan di setiap negeri dan logistik dalam menghadapi kemungkinan banjir lebih buruk akibat hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga Mac depan.

"Sekiranya tenaga anggota JPAM tidak mencukupi bagi menghadapai bencana banjir di daerah sesebuah negeri, kita akan minta bantuan anggota kita dari daerah atau negeri berhampiran termasuk dari segi logistik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke pusat pemindahan mangsa banjir di
Sekolah Kebangsaan Tehel di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPAM Melaka Pang Ah Lek.

Beliau berkata sebagai contoh, pada masa ini anggota JPAM dari Klang dipinjamkan bagi membantu mengurus dan memindahkan mangsa banjir di Dengkil, Selangor yang kekurangan anggota.

Katanya JPAM juga telah bersiap sedia dengan pelbagai bantuan seperti menyediakan pengangkutan bot dan lori untuk proses pemindahan selain kenderaan untuk mengambil dan menghantar mangsa banjir yang terlibat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).