Skip to main content

Malaysia

Mendiang Tun Ling Liong Sik beri sumbangan besar, sahabat baik arwah abang - PM

Izzuddin Abd Radzak/PMO
Perdana Menteri menegaskan bahawa sumbangan mendiang bukan sahaja besar kepada parti, malah memberi kesan yang signifikan terhadap pembangunan negara secara keseluruhan - Foto/Izzuddin Abd Radzak/PMO

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mendiang Tun Dr Ling Liong Sik yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, mendiang yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup MCA memainkan peranan besar ketika menerajui Kementerian Pengangkutan, termasuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif utama yang memberi impak kepada negara.

Advertisement

"Saya hadir untuk menyampaikan takziah kepada Toh Puan Ong Ee Nah bagi pihak keluarga dan negara, serta mengenang sumbangan besar beliau kepada negara," katanya ketika hadir memberikan penghormatan terakhir di Pusat Xiao En, di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, hubungan mereka bukan sekadar dalam konteks rasmi, malah turut terjalin secara peribadi, termasuk persahabatan rapat antara mendiang dan Allahyarham abangnya, Rani Ibrahim.

Anwar turut mengimbas kerjasama mereka dalam dunia politik, khususnya ketika masing-masing aktif di Pulau Pinang sebelum memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa sumbangan mendiang bukan sahaja besar kepada parti, malah memberi kesan yang signifikan terhadap pembangunan negara secara keseluruhan.

"Tetapi yang paling penting dalam perjalanan perhubungan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kita banyak bersama, bekerjasama serta saya menghargai sumbangan bukan sahaja kepada parti, tetapi juga kepada negara," kata beliau.

Dr Ling meninggal dunia pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri, Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003.
 

Must Watch Video