KUCHING: Seramai 6,705 petugas di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak disediakan bagi  menghadapi kemungkinan banjir di seluruh negeri Sarawak.

Menurut Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia melibatkan lapan jabatan serta agensi kerajaan. Selain itu, aset-aset logistik serta pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dikenal pasti.

“Terdapat lapan jabatan yang terlibat dan kita ada 6,705 tenaga kerja yang akan terlibat. Aset kita ada 286 buah bot, 115 buah lori, kenderaan empat roda 247 buah, dan helikopter tiga buah; dua bomba, satu polis.

“Kemudian kita juga ada kenderaan amfibia yang boleh digunakan jika ada jalan terputus (oleh banjir) kita ada 3 buah.

“Kita ada 625 buah pusat pemindahan sementara dan akan ada tambahan dari semasa ke semasa (jika perlu) dan ia boleh menampung kapasiti 185,000 mangsa kalau diperlukan. Yang penting adalah mangsa-mangsa ada tempat untuk berpindah,” katanya.

Uggah berkata demikian semasa sidang media Persediaan Menghadapi Kemungkinan Banjir Sarawak di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Selasa.

Jelasnya, mekanisme yang digunakan pihaknya adalah dengan memecahkan jentera-jentera JPBN di peringkat bahagian serta daerah agar pengendalian bencana dapat dilakukan secara berfokus.

Sementara itu, bagi memastikan petugas bencana tidak terlalu terbeban jika berlaku bencana besar, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti di peringkat masyarakat juga telah diperkasakan agar proses menyelamat mangsa banjir dapat berjalan dengan lancar dan cepat.

“Kita di beberapa tempat ada Community Emergency Response Team ini iaitu kita menggerakkan masyarakat untuk melihat dan mengawal keadaan.

“Mungkin jabatan atau agensi berkenaan belum sampai ke kampung tersebut, jadi kita ada masyarakat sendiri yang akan menggerakkan ahli-ahli masyarakat itu berpindah ke tempat pusat pemindahan sementara, jangan tunggu polis datang bomba datang mungkin tak sempat,” tambahnya. 

Uggah turut menasihati orang awam agar terus cakna dengan perkembangan cuaca dan paras air semasa selain memberi kerjasama tinggi jika terkesan oleh banjir dan diminta berpindah ke PPS.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca hujan berterusan di tahap waspada melibatkan negeri Sarawak dari 8 hingga 13 Januari 2022.

Setakat Selasa, masih belum ada PPS diaktifkan di seluruh negeri ini, sementara pemantauan terus dilakukan melibatkan 349 lokasi berisiko banjir yang telah dikenal pasti