MALAYSIA
JPJ, APAD pandang serius video tular pemanduan berbahaya, buli jalan raya - Loke

Anthony Loke berkata tindakan segera akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius setiap laporan berkaitan pemanduan berbahaya atau insiden buli jalan raya, termasuk video yang tular di media sosial.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan segera akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara serta sebagai langkah berterusan membanteras gejala buli jalan raya.
"Beberapa hari lepas, ada satu video tular melibatkan bas ekspres yang dipandu laju. Selepas memotong kenderaan lain, pemandu tunjukkan isyarat lucah kepada orang yang ambil (rekod) video.
"Saya tengok video itu saja, terus saya WhatsApp KP (Ketua Pengarah) JPJ dan KP APAD untuk ambil tindakan dan APAD terus menggantung syarikat tersebut. Jangan ingat video yang ditularkan tidak berkesan dan JPJ tak ambil tindakan," katanya.Loke merujuk kepada tindakan APAD menggantung Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam milik Star Mart Ekspress Sdn Bhd selama 30 hari berkuat kuasa 3 Julai ini, susulan penularan video memaparkan pemanduan berbahaya oleh pemandu bas syarikat berkenaan pada 12 Jun lepas.
Media melaporkan, permit kenderaan bas ekspres dengan nombor pendaftaran ALA 6666 itu juga dibatalkan berkuat kuasa 7 Ogos 2025.
Sementara itu, Loke berkata pengguna jalan raya digalakkan untuk menyalurkan maklumat atau menularkan video berkatan pemanduan berbahaya atau kesalahan trafik bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
"Saya galakkan orang ramai untuk terus tularkan mana-mana insiden. Kalau tak mahu lapor kepada JPJ pun tidak mengapa, tularkan sudah cukup, kita akan tengok.
"Sudah tentu apabila video tular sampai kepada kita, kita akan ambil tindakan berdasarkan kepada maklumat yang sahih, tapi nasihat saya apabila ambil video itu kenalah ambil nombor pendaftaran kenderaan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami