NATIONAL
JPJ keluar 61,317 notis kesalahan sepanjang operasi khas HRA 2025

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli ketika ditemui media pada penutup Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 Negeri Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) tahun ini di seluruh negara bermula 24 Mac hingga tengah malam tadi.
Ringkasan AI
- JPJ mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025, hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di seluruh negara.
- Tiga kesalahan utama yang tertinggi adalah memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, dan gagal mematuhi lampu isyarat merah.
- JPJ turut menyita 511 kenderaan dan mengeluarkan notis saman kepada pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan, termasuk menggunakan telefon ketika memandu dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).
"Sepanjang tempoh operasi ini JPJ juga menerima 6,687 aduan berbentuk gambar dan video berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi Aplikasi MyJPJ.
"Tiga kesalahan utama yang tertinggi adalah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).
"Kita sudah mengambil tindakan hasil aduan berkenaan, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan," katanya pada sidang media penutup Operasi Khas HRA 2025 di Plaza Tol Kota Kemuning Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah Shah Alam di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan pengangkutan awam meliputi 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak 1,294 notis dikeluarkan iaitu 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas.
"Melalui penyamaran ini, kita mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu, antaranya menggunakan telefon ketika memandu, tiada pemandu kedua melibatkan jarak perjalanan empat jam ke atas dan menggunakan laluan kanan berterusan," katanya.
Aedy Fadly berkata JPJ turut mengeluarkan 163 notis dan menahan 124 kenderaan menerusi Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Ban) sepanjang empat hari pelaksanaan pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Semua 124 kenderaan ini tidak boleh berada di atas jalan raya sehingga tempoh Road Ban selesai, iaitu selama 48 jam ... ," katanya.
Sementara itu di JOHOR, Pengarah JPJ Negeri Azmil Zainal Adnan berkata pihaknya mengeluarkan 7,592 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 23,715 kenderaan sepanjang pelaksanaan Operasi HRA, dengan kesalahan tertinggi dikesan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
"Kesalahan lain ialah tiada Lesen Vokasional, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
JPJ Johor turut menyita 106 kenderaan atas kesalahan kerana tidak selamat untuk berada di jalan raya, dan Azmil berkata melalui analisis operasi, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap pematuhan peraturan keselamatan khususnya kenderaan persendirian, masih pada skala rendah.
Di PERLIS pula Pengarah JPJ Negeri Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya mengeluarkan 1,341 notis atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 8,591 kenderaan sepanjang Ops HRA dengan kesalahan utama dikesan adalah berkaitan ketiadaan lesen dan insurans kenderaan, selain berkaitan aspek teknikal tayar yang haus berlebihan bagi kenderaan perdagangan.
Beliau berkata JPJ Perlis turut mengeluarkan notis saman kepada tiga individu yang dikesan melakukan kegiatan 'prebet sapu' iaitu mengambil upah membawa penumpang tanpa kebenaran pada 5 April lepas, susulan aduan awam serta risikan di Stesen Keretapi Arau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami