BUKIT MERTAJAM: Sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid, merupakan antara penyumbang terbesar dalam kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sehingga kini telah berjaya mengutip RM286 juta, bagi tempoh 10 bulan pertama ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem e-bid, dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri.

"Sejak JPJ memperkenalkan inisiatif e-bid ini, ia mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai, kerana sistem dalam talian ini memudahkan semua pihak membida nombor pendaftaran yang mereka suka, walau di mana mereka berada.

"Sistem itu juga menjadi pemudah cara buat pengguna untuk membida nombor-nombor yang disukai secara telus dan efektif. Kalau dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak hanya secara dalam talian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang, di sini hari ini.



JPJ-PLAT 2 (AKHIR) BUKIT MERTAJAM



Mengulas mengenai kaunter pandu lalu itu, Zailani berkata membuka kaunter pandu lalu di pekarangan JPJ Pulau Pinang itu, bagi memudahkan orang ramai memperbaharui pelbagai lesen dan urusan menerusi tempoh transaksi singkat.

Beliau berkata pelanggan boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), lesen memandu Malaysia (LLM), pertukaran lesen memandu percubaan (PDL) ke lesen memandu Malaysia (CDL), dan pembayaran saman terkini menerusi transaksi kurang daripada lima minit.

"Kaunter pandu lalu ini akan diperluaskan perkhidmatan ke seluruh negara dengan negeri Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan JPJ," katanya.

Zailani berkata bagi perkhidmatan terbaharu pula, JPJ akan menyediakan 100 unit kiosk yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU), dan akan ditempatkan di seluruh negara dalam usaha ke arah pendigitalan.

"JPJ ketika ini sedang menaik taraf sistem perkhidmatannya ke arah pendigitalan secara berperingkat, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kepada pelanggan, pendigitalan berkenaan melibatkan semua perkhidmatan JPJ termasuk memperbaharui lesen kenderaan motor," katanya.

-- BERNAMA