Kerajaan berhasrat untuk melancarkan program pertukaran pelajar di antara negeri-negeri seluruh Malaysia bagi mengukuhkan semangat perpaduan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Vincent Wong iaitu setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Program tersebut merupakan sebuah inisiatif di bawah Jabatan Perdana Menteri bahagian hal ehwal perpaduan nasional yang diterajui oleh Kurup.

Bercakap kepada wartawan selepas menyertai forum Hari Malaysia anjuran Gerakan Bertindak Malaysia (GBM), Wong memberitahu program tersebut dicetuskan dari idea Kelab Rotary.

Forum Hari Malaysia

Menurut Wong, program itu hampir sama dengan program pertukaran yang melibatkan pelajar antarabangsa.

Mengimbas pengalaman sendiri, beliau berkata banyak yang boleh dipelajari melalui masa yang dihabiskan sesama sendiri.

“Jika anda tinggal bersama keluarga mereka dan menjadi sebahagian dari mereka… anda akan perolehi pengalaman yang berbeza tentang budaya yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Wong turut menjelaskan tentang Pelan Perpaduan Nasional yang telah diumumkan oleh Joseph Kurup pada Ogos 25 lalu.

Kata beliau, pelan tersebut selain mengambil kira idea dan pandangan pesara kerajaan, turut memerlukan pandangan dari pihak pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, pihak jabatannya akan turun ke padang untuk berdialog dengan orang ramai membincangkan tentang perpaduan nasional dari negeri ke negeri.

Tambahnya jika polarisasi kaum terus dibiarkan, ia boleh menjejaskan keadaan social serta ekonomi negara.

Pada Ogos lalu, Kurup telah memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil kira idea dan pandangan pesara kerajaan mengenai perpaduan nasional bagi memantapkan penyediaan Pelan Perpaduan Nasional untuk diguna sebagai input Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang dijangka ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, para pesara mempunyai pengalaman dalam soal perpaduan yang dilihat mampu menjadi penggerak bagi memastikan kesinambungan penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, Kurup berharap melalui perkongsian idea dan pandangan itu, ia dapat membantu mewujudkan satu pelan perpaduan nasional yang mampu menjadi platform terbaik bagi membincangkan perkara berhubung isu perpaduan kaum.