Skip to main content

Bisnes

Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.8 peratus pada April 2026 - BNM 

Sumber: BERNAMA
Menurut bank pusat, pertumbuhan pinjaman isi rumah mampan pada 5.5 peratus pada April 2026 (Mac 2026: 5.4 peratus), berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada April 2026 daripada 5.6 peratus pada Mac 2026 dipacu oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat terkumpul, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu memaklumkan pinjaman perniagaan terkumpul tumbuh sebanyak 6.3 peratus pada April 2026 daripada 5.7 peratus pada Mac 2026 dan bon korporat terkumpul berkembang 6.1 peratus pada April 2026 daripada 5.8 peratus pada Mac 2026.

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bagi tujuan modal kerja.

“Sementara itu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan kekal menggalakkan merentas segmen PKS dan bukan PKS,” jelas BNM dalam sorotan bulanan April 2026 hari ini.

Menurut bank pusat, pertumbuhan pinjaman isi rumah mampan pada 5.5 peratus pada April 2026 (Mac 2026: 5.4 peratus), berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.

Mengenai kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada kadar 1.4 peratus dan 0.9 peratus.

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat iaitu sebanyak 125.4 peratus daripada pinjaman terjejas kasar (Mac 2026: 124.8 peratus).

Mengenai ringgit, BNM menyatakan mata wang tempatan itu menambah nilai sebanyak 1.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat, disokong oleh aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran bon dan ekuiti domestik.

Jelas bank pusat, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menurun sebanyak enam mata asas manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 1.9 peratus pada April 2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement