ALOR SETAR:Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan memperkenalkan satu modul khas sebagai inisiatif untuk membantu perlaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pendidikan Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata inisiatif berkenaan merupakan platform bagi membantu kumpulan pelajar yang berada di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet atau mempunyai capaian internet yang rendah.

Jelas beliau, melalui modul berkenaan, satu pendekatan secara manual akan dilaksanakan pihak pengurusan sekolah bagi mengagihkan secara fizikal nota dan latihan yang dibekalkan kepada waris.

Tambahnya, pendekatan berkenaan dianggap mencapai tahap memuaskan apabila dilaksanakan ketika penguatkuasaan Perintah Kawasalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling sebelum ini.

"Pihak jabatan (Pendidikan Negeri Kedah) telah mengadakan satu modul khas bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet dan ini melibatkan ibu bapa supaya datang ambik (latihan dan nota) sama macam sebelum ni," katanya lagi.

Najmi berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar pada Rabu.

Sebelum ini, Astro Awani memaklumkan bahawa pelajar yang beberapa daerah di Kedah terutama di Sik, Baling, Padang Terap dan Pendang terpaksa menghadapi masalah mendapatkan capaian internet terutama ketika menjalankan kelas secara atas talian.

Susulan itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang lepas, mengesahkan bahawa sebanyak 25 menara telekomunikasi baharu yang sedang dalam proses pembinaan di seluruh Kedah dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama tahun ini.

Menurutnya, pembinaan itu merupakan salah satu langkah penambahbaikan jaringan telekomunikasi untuk meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di negeri ini.