KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan turun ke lapangan dan ke rumah pelajar bagi memastikan tiada keciciran berlaku termasuk dalam kalangan Orang Asli.

Pengarahnya Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata tindakan itu akan diambil jika pelajar gagal hadir selepas seminggu tempoh persekolahan penggal 2024/2025 berdasarkan maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah.

"Kita telah arahkan kepada pihak sekolah supaya mereka memantau secara harian ketidakhadiran pelajar walaupun kita telah ada sistem untuk dikemas kini, cuma kebiasaannya pada minggu pertama persekolahan kita melihat dari segi bilangan yang telah ada pada tahun sebelumnya.

"Mungkin kalau mereka tidak hadir sehari itu bukan keciciran mungkin mereka ada masalah kesihatan atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1, di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya pelajar tidak hadir ke sekolah selama seminggu, pihak sekolah akan bergerak ke rumah pelajar terbabit untuk tindakan sewajarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun lepas pihaknya telah mengesan seramai 22 pelajar keciciran dalam kalangan Orang Asli iaitu seramai 14 orang dari SK Balar manakala seramai lima pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Wangi.

Beliau berkata kesemua mereka akan diberi kefahaman mengenai keperluan untuk ke sekolah menerusi perbincangan bersama wakil JPN, pemimpin setempat, tok batin dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli.

"Kebiasaannya punca kepada berlakunya keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli ini adalah disebabkan masalah adat mereka, faktor keselamatan dan juga cuaca.

"Bagaimanapun, kebanyakan mereka tinggal di asrama sekali gus dapat mengurangkan masalah keciciran ini. Kami berharap dengan adanya usaha ini masalah keciciran dalam kalangan pelajar di negeri ini termasuk pelajar Orang Asli dapat dikurangkan," katanya.

Mohd Zamri berkata pihaknya menyasarkan sifar isu keciciran selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memastikan isu tersebut tidak berterusan dan menjadi kebimbangan di negara ini.

-- BERNAMA