JPN Kelantan siasat kes murid digilis bas

Vivi Sumanti
Julai 4, 2019 15:00 MYT
Abu Hanifah bertanya khabar kepada ayah mangsa, Mohd Suria Ismail, 46, ketika di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh pada Khamis. - Astro AWANI
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan membuat siasatan terperinci berhubung kes kematian seorang murid lelaki yang maut terjatuh dari bas di Kampung Kandis, di sini.
Pengarah JPN negeri, Abu Hanifah @Fauzi Zahari berkata, dia juga sudah memberi arahan supaya pegawainya mengambil segala maklumat daripada pihak sekolah, pengusaha bas dan polis serta-merta.
"Sekarang ini, kita selesaikan dahulu urusan pengebumian murid ini dan kita akan keluarkan maklumat terperinci kejadian dalam masa terdekat.
"Buat masa ini, saya tidak boleh komen banyak kerana perlu tahu cerita lengkap kejadian," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.
BACA: 'Adam anak bongsu kesayangan keluarga' - Ibu murid terjerlus lantai bas cerita detik duka
Terdahulu, beliau bersama beberapa kakitangan JPN hadir ke bilik mayat bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah murid berkenaan, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang.
Dalam kejadian jam 11.50 pagi tadi, Adam maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak dipercayai akibat lantai bahagian hadapan bas yang telah berlubang.
BACA: Murid tahun enam maut terjerlus lantai bas berlubang
Difahamkan, murid itu bersama 30 murid sekolah berkenaan menaiki bas sekolah yang disewa untuk menghadiri bengkel Bahasa Inggeris selama dua hari di Bukit Keluang, Terengganu.
Mayat murid Darjah Enam itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Belah, malam ini.
#Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan #Kampung Kandis #murid sekolah digilis lori #Wan Mohammed Adam