KEPALA BATAS: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang akan mempergiat usaha menangani isu keciciran murid di negeri ini termasuk menerusi kerjasama dengan komuniti setempat.

Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain berkata biarpun bilangan murid terlibat hanya sedikit dan tidak membimbangkan namun isu itu tetap perlu diberi perhatian serius.

"Biasanya, isu (keciciran) ini berlaku ketika transisi murid dari sekolah rendah ke menengah selain kes (murid) ke sekolah swasta dan sekolah agama tanpa memaklumkannya kepada pihak sekolah tetapi ada juga sebab bantu ibu bapa.

"Untuk itu, JPN menerusi sektor pengurusan sekolah dan sektor pembangunan murid sentiasa merangka program kerjasama dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta dan komuniti bagi memastikan kehadiran murid ke sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Badawi Kepala Batas, di sini.

Ahmad Said berkata pihaknya juga akan melaksanakan program jerayawara selepas Aidilfitri tahun ini melibatkan kerajaan negeri dan semua penghulu di daerah yang didapati mempunyai bilangan keciciran tinggi.

Beliau berkata program itu bertujuan memberikan kesedaran dalam kalangan pelajar, keluarga dan komuniti.

Sementara itu, Ahmad Said berharap semua pelajar dapat hadir ke sekolah setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

"Hari ini kita lihat kehadiran penuh tapi bimbang bulan puasa ramai yang ponteng. Jadi kita harap semangat hari ini dapat diteruskan sehingga Syawal nanti kerana kita sasarkan kehadiran 100 peratus ke sekolah.

"Dalam hal ini, komuniti perlu mainkan peranan dengan memberikan motivasi kepada anak-anak ini untuk hadir sebab kita tak mahu mereka terlepas pembelajaran di sekolah," katanya.

Terdahulu, sebanyak 217,886 murid dan pelajar dari 397 buah sekolah di Pulau Pinang memulakan sesi persekolahan 2024/2025 semalam, melibatkan 117,585 murid sekolah rendah dan 100,301 pelajar sekolah menengah.

-- BERNAMA