Skip to main content

Malaysia

JPN P.Pinang siasat dakwaan murid cedera dipukul dengan pembaris

Satu hantaran oleh seorang wanita di Facebook tular apabila mendakwa anak lelakinya yang bersekolah di Tahun Dua dipukul menggunakan pembaris kayu sehingga menyebabkan jari murid terbabit bengkak.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian murid tahun dua di sebuah sekolah di sini yang didakwa dipukul dengan pembaris kayu oleh guru sehingga menyebabkan jarinya bengkak dan lebam seperti tular di media sosial. - Foto Sinar Harian

KEPALA BATAS: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian murid tahun dua di sebuah sekolah di sini yang didakwa dipukul dengan pembaris kayu oleh guru sehingga menyebabkan jarinya bengkak dan lebam seperti tular di media sosial.

Pengarah JPN Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata siasatan menyeluruh dijalankan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU) bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kejadian tersebut.

Advertisement

“Saya sedang mendapatkan laporan dan kes ini sedang disiasat oleh PPD dengan pertemuan bersama waris murid itu diadakan 4 petang ini bagi mendapatkan maklumat lanjut selain memberi penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah.

"JPN Pulau Pinang akan meneliti laporan penuh kes tersebut sebelum mengambil tindakan susulan yang bersesuaian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Dziauddin berkata murid terbabit juga akan dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling selepas kembali hadir ke sekolah.

Terdahulu, satu hantaran oleh seorang wanita di Facebook tular apabila mendakwa anak lelakinya yang bersekolah di tahun dua di sebuah sekolah di sini dipukul menggunakan pembaris kayu selepas terlupa menyiapkan kerja rumah.

Individu itu mendakwa pembaris kayu berkenaan terkena tangan anaknya sehingga menyebabkan jari murid terbabit bengkak dan dia mengadu sakit sebaik pulang dari sekolah.

Wanita berkenaan juga dilaporkan berkata pihak hospital menasihatinya supaya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video