Skip to main content

Dunia

Perjanjian damai AS-Iran beri harapan baharu kepada pelaut terkandas di Selat Hormuz

Sumber: REUTERS
Pelaksanaan rancangan itu memerlukan masa bagi memastikan semua jaminan keselamatan dan sekuriti yang diperlukan tersedia. - Reuters

LONDON: Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Arsenio Dominguez pada Isnin mengalu-alukan perjanjian damai yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sambil menyatakan bahawa ia akan membantu mempercepat pelaksanaan rancangan pemindahan ribuan pelaut yang terkandas berhampiran Selat Hormuz, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan kepada Xinhua, Dominguez berkata IMO sedang bekerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan strategik bagi melaksanakan pelan pemindahan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan rancangan itu memerlukan masa bagi memastikan semua jaminan keselamatan dan sekuriti yang diperlukan tersedia.

Dominguez berkata perjanjian itu menandakan kembalinya keamanan, dialog, multilateralisme dan diplomasi. Ia juga merupakan langkah penting ke arah memulihkan keselamatan kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan maritim yang amat penting, serta melindungi prinsip asas kebebasan pelayaran.

IMO kekal komited terhadap keselamatan maritim, perlindungan pelaut, kebebasan pelayaran dan kelancaran aliran perdagangan global, katanya.

Dominguez turut melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa konflik serta memberikan penghargaan khusus kepada pelaut tidak bersalah yang terkesan akibat krisis itu dan keluarga mereka.

“Keberanian dan ketabahan mereka dalam menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan wajar diberikan penghargaan setinggi-tingginya,” katanya.

Selepas AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran pada 28 Feb, ketegangan di sekitar Selat Hormuz meningkat dengan ketara. Aktiviti perkapalan di kawasan itu berdepan sekatan yang dikenakan oleh pelbagai pihak, manakala beberapa siri serangan terhadap kapal dagang turut mengganggu lalu lintas maritim.

Menurut data IMO, sebanyak 46 insiden melibatkan kapal disahkan berlaku di sekitar Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya antara akhir Februari hingga 11 Jun, mengakibatkan 14 kematian dalam kalangan pelaut.

AS dan Iran pada Ahad mengumumkan memorandum persefahaman bagi menamatkan perang. Presiden AS Donald Trump berkata menerusi media sosial bahawa beliau memberi kebenaran bagi pembukaan semula Selat Hormuz serta penamatan sekatan tentera laut AS, manakala majlis pemeteraian rasmi memorandum itu dijadual berlangsung pada 19 Jun. 

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement